Apa beza .my dengan .com.my ?

Ini adalah antara soalan yang kerap ditanya sebelum mendaftar domain. Kenapa anda perlu kepastian ? Kerana nama domain ini akan didaftarkan untuk tempoh paling kurang setahun dan ianya tidak boleh ditukar nama melainkan anda perlu daftar domain yang baru. Jika anda tersilap daftar domain, anda tidak boleh “edit” nama domain tersebut. Jadi pastikan anda membuat pendaftaran nama domain yang betul.

Domain .my adalah country-code top-level domains (ccTLD) dimana ia mempamerkan kod negara bagi domain tersebut. ccTLD merupakan salah satu kategori top-level domain (TLD) dan boleh dikenalpasti berdasarkan kod dua huruf terakhir bagi domain negara tersebut. Sebagai contoh kod bagi negara Malaysia adalah “my”. Maka semua domain yang berakhir dengan.my menunjukkan website itu datang daripada negara Malaysia.

Setiap negara mempunyai pendaftar domain yang mengurus kod negara sendiri. Di Malaysia, syarikat MYNIC adalah pengurus tunggal untuk alamat web yang berakhir dengan .my. Sebagai pengurus nama domain Malaysia, MYNIC menyediakan perkhidmatan pendaftaran nama domain yang unik untuk sesebuah organisasi atau individu seperti .my, .com.my, .org.my, .net.my, .edu.my, .gov.my, .mil.my dan .name.my. Terkini syarikat MYNIC mengumumkan proses pendaftaran domain .my hanya mengambil masa satu jam berbanding tiga jam sebelum ini. Anda boleh rujuk artikel Pengaktifan Domain .my Kini Hanya Dalam Masa 1 Jam.

Semua domain yang berakhir dengan my, .com.my, .org.my, .net.my, .edu.my, .gov.my, .mil.my dan .name.my. mempunyai fungsi tersendiri dan terhad kepada pemohon tertentu sahaja.

.my – Untuk semua organisasi atau individu warganegara Malaysia

.com.my – Untuk organisasi atau aktiviti komersial seperti syarikat

.net.my – Untuk organisasi atau aktiviti yang berkaitan dengan rangkaian

.org.my – Untuk pertubuhan atau organisasi

.name.my – Untuk semua individu yang tinggal di Malaysia

.edu.my – Untuk organisasi pendidikan Malaysia sahaja

.gov.my –  Untuk kerajaan Malaysia sahaja

.mil.my – Untuk ketenteraan Malaysia sahaja

Jadi sekiranya anda ingin mendaftar domain sebagai individu, anda hanya boleh mendaftar domain .my atau .name .my. manakala untuk organisasi ataupun syarikat, anda boleh mendaftar domain .my, .com.my dan .org.my. Sebelum mendaftar domain .my, anda perlu menyediakan beberapa dokumen mengikut domain yang anda daftarkan. Untuk domain .my, anda perlu sediakan salinan kad pengenalan. Untuk domain .com.my, anda perlu sediakan salinan kad pengenalan dan salinan SSM manakala untuk domain .org.my, anda perlu sertakan salinan kad pengenalan dan salinan  ROS.

Domain mana yang paling bagus ?

Tiada isitilah domain paling bagus kerana anda perlu kenalpasti tujuan domain yang anda ingin daftarkan. Sekiranya anda ingin bina website sendiri atas kapasiti individu yang menggunakan nama anda atau membuat website jualan produk atau mempamerkan jenama bisnes, saya cadangkan anda mendaftar domain .my kerana ia lebih ringkas, mudah diingat dan boleh didaftarkan atas kapasiti individu.

Sekiranya anda ingin membina website syarikat atau aktiviti komersial, saya cadangkan anda mendaftar domain .com.my kerana ia kelihatan lebih koperat dan sesuai dengan keperluan untuk mendaftar iaitu syarikat. Apa yang pasti domain .my dan .com.my tidak memberi sebarang perbezaan dari sudut kelajuan website kerana itu bergantung kepada web hosting yang anda gunakan dan cara anda bina website tersebut.

Kenapa anda perlu utamakan domain .my berbanding .com?

Enjin carian seperti Google lebih mengutamakan domain ccTLD bagi negara tersebut (untuk Malaysia : .my, .com.my, .org.my, .net.my, .edu.my, .gov.my, .mil.my dan .name.my.) berbanding generic top-level domains (gTLD) seperti .com, .net, .org. apabila seseorang membuat carian di internet ketika berada didalam negara tersebut. Namun begitu ia tetap bergantung kepada kemampuan website anda dalam menguasai Search Engine Optimization (SEO) yang membolehkan website anda berada di carian teratas dalam senarai carian Google sekalipun anda menggunakan domain .com !

Dimana anda boleh daftarkan domain .my?

Untuk makluman, syarikat MYNIC tidak menyediakan perkhidmatan pendaftaran domain secara terus antara pelanggan dan juga MYNIC. Anda boleh mendapatkan perkhidmatan pendaftaran domain daripada reseller domain yang dilantik oleh syarikat MYNIC seperti iChoose.myExabyteDomainPlus, YeahHost. Anda boleh rujuk laman reseller di website MYNIC untuk mendapatkan lebih banyak senarai syarikat yang membekalkan perkhidmatan pendaftaran domain .my

Berikan komen anda berkenaan artikel ini di ruang komen dibawah & kongsikan di media sosial bersama rakan-rakan. Semoga bermanfaat 🙂